Blogger Templates

Friday 20 July 2012

Salam Ramadhan 1433 H

Selamat menunaikan ibadah puasa 1433H kepada semua Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia. Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik kepada kita semua, InsyaAllah.

Monday 25 June 2012

Kutu Kepala

Kutu adalah parasit jenis serangga yang tidak bersayap. Kutu menyerang manusia dengan bersarang di kepala. Cara makannya ialah menghisap darah. Ia akan mengeluarkan bahan yang menyebabkan reaksi alahan pada kulit kepala sehingga mengakibatkan gatal-gatal. Ia bertelur dalam bentuk butir-butir putih dan menempel pada rambut. Telur kutu mengambil masa lima hingga tujuh hari untuk menetas. Kutu akan merangkak atau meloncat-loncat di kulit kepala tanpa disedari.Kutu kepala adalah sejenis parasit penghisap darah yang biasanya hidup dibahagian kepala. Kutu betina mampu bertelur enam biji sehari. Telur ini selalunya melekat dengan kuat pada rambut. Telur-telur ini akan menetas selepas lebih kurang 8 hari.
Kutu kepala merebak dengan cepat melalui sentuhan terus dengan rambut yang bermasalah. Ia juga melompat ke kepala melalui berus atau sikat rambut, topi, bantal dan tuala.

Fakta Asas
  • Untuk mendapat jangkitan kutu memerlukan sentuhan dari kepala ke kepala.
  • Sesetengah orang tidak menunjukkan sebarang gejala, sesetengah pula berasa gatal kulit kepala.
  • Hanya satu cara sahaja untuk mendapat kepastian tentang jangkitan iaitu dengan membasahkan rambut, membubuh perapi pada rambut dan menyikatnya dengan sikat bergigi halus untuk mengesan kutu hidup (saiz dalam lingkungan 1-3 mm panjang).
  • Rawatan yang paling selamat ialah ‘penghapusan kutu’, iaitu satu regim penyikatan.
Tanda-tanda

Walaupun sangat kecil, kutu masih boleh dilihat dengan mata kasar. Tanda-tanda kutu:

Telur kutu: Telur kutu kelihatan kecil kekuningan, atau coklat sebelum ia menetas. Setelah menetas, kulitnya yang terlekat pada rambut berwarna putih atau jernih. Kutu bertelur pada rambut dekat dengan permukaan kulit, di mana suhunya adalah sesuai untuk mengekalkan haba sehingga ia menetas. Telur kutu senang dilihat pada rambut kanak-kanak. Telur kutu menetas dalam masa 1 hingga 2 minggu selepas ia dihasilkan.
Seekor kutu.
Kutu dewasa dan anak kutu: Kutu dewasa tidak besar, tidak sampai sebesar beras pun dan berwarna kelabu dan coklat. Kutu menghisap darah beberapa kali dalam sehari tetapi ia boleh kekal hidup sehingga 2 hari selepas terjatuh dari kulit kepala.

Menggaru: Menggaru dan kegatalan datang dengan gigitan kutu. Namun kegatalan mungkin tidak terus bermula – ia bergantung kepada kesensitifan kulit kepala kanak-kanak, mungkin datang setelah berminggu-minggu jangkitan. Kanak-kanak mungkin menyatakan ada benda bergerak dan rasa geli di atas kepala mereka.

Benjolan kecil kemerahan atau sakit akibat dari menggaru: Bagi sesetengah kanak-kanak, kegatalan mungkin sederhana, bagi yang selebihnya mungkin menyebabkan bintik merah dan kudis timbul. Menggaru terlalu kuat boleh menyebabkan jangkitan kuman.
 
Adakah Kutu Boleh Berjangkit?

Kutu adalah sangat boleh berjangkit dan boleh tersebar dengan cepat dari orang ke orang, terutamanya dalam keadaan berkumpulan (sekolah, tadika, aktiviti sukan, perkhemahan). Kutu tidak boleh melompat atau terbang. Kutu hanya boleh berjangkit dengan sentuhan kepala ke kepala, tetapi berkongsi pakaian, topi, sikat, cadar, selimut dan bantal juga boleh menyebarkan kutu.

Adakah kucing, arnab dan haiwan peliharaan lain boleh menyebarkan kutu juga? Jangan risau, haiwan peliharaan tidak boleh mendapat kutu kepala (kutu manusia) dan menyebarkan kepada manusia, dan manusia tidak boleh memberi jangkitan kutu kepala kepada mereka.
Rawatan

Doktor anda mungkin memberi rawatan syampu berubat, bilasan krim atau losyen untuk membunuh kutu. Rawatan-rawatan ini boleh membunuh kutu dengan segera, tetapi kegatalan hanya hilang selepas beberapa hari. Adalah penting untuk menurut arahan dari doktor kerana rawatan ini adalah racun. Sekiranya anak anda adalah 2 tahun dan ke bawah, anda tidak sepatutnya menggunakan rawatan ubat kutu. Anda perlu membuang kutu dengan tangan (menggunakan sikat).

Berikut adalah cara mudah untuk membunuh kutu dan telurnya, dan membantu mencegah jangkitan semula kutu:
  • Basuh semua cadar dan pakaian yang telah dipakai oleh sesiapa sahaja yang telah terkena jangkitan kutu di rumah anda dalam air panas, dan keringkannya di tempat panas.
  • Cuci kering sebarang pakaian dan permainan yang tidak boleh dibasuh dengan mesin. Atau, masukkannya dalam beg kedap udara selama 2 minggu.
  • Bersihkan dengan pembersih hampagas karpet dan perabot upholsteri anda (di rumah atau kereta).
  • Rendam barang penjagaan rambut seperti sikat, pengikat rambut dan berus dalam syampu berubat atau alcohol selama satu jam. Anda juga boleh membasuhnya dengan air panas atau buangkan sahaja ia.
  • Oleh kerana kutu mudah berjangkit dari seorang keseorang dalam rumah yang sama, ahli rumah juga perlu dirawat untuk mengelak dari kutu hadir semula.
Perkara Yang Anda Jangan Buat:
  • Jangan gunakan alat pengering rambut pada rambut anak anda selepas menyapu atau mengenakan sebarang rawatan kulit kepala kerana sesetengahnya mengandungi bahan boleh terbakar.
  • Jangan gunakan bilasan krim atau kombinasi syampu/perapi sebelum membubuh ubat kutu.
  • Jangan basuh rambut anak anda selama satu atau dua hari selepas menggunakan rawatan berubat.
  • Jangan gunakan ubat yang sama lebih dari tiga kali ke atas orang yang sama. Sekiranya ia tidak berkesan, doktor anda akan menyarankan ubat lain.
  • Jangan gunakan lebih dari satu ubat kutu pada masa yang sama

Friday 13 April 2012

20 Perkara Yang Berubah Selepas Memiliki Anak Sendiri

Sering kali rakan-rakan kita memberi peringatan kepada kita ketika kita sedang mengandungkan anak pertama. “Kau tidurlah puas-puas, nanti dah ada anak mesti tak cukup tidur”…Betul kan?

Dan yang pasti, selepas mempunyai anak, banyak yang akan berubah dalam hidup kita. Kita akan mempunyai kekangan wang, tidak cukup tidur dan tanggungjawab yang lebih besar perlu digalas. Tetapi apabila seluruh kehidupan kita bertumpu kepada anak kesayangan kita, sebenarnya, banyak perkara yang menarik akan berlaku.

1- Kita menemui kekuatan dalaman tanpa kita sedar.

2- Kita akan merindui saat 9 bulan kehamilan kita walaupun terpaksa mengendong perut yang boyot!!

3- Kita tidak lagi memerlukan jam. Sebaliknya, bayi kita yang menetapkan jadual harian kita. Adakalanya bayi kita bangun seawal jam 4 pagi!!

4- Kita akan menghormati dan mengasihi ibu bapa kita sendiri dengan cara yang baru.

5- Jika anak kita sakit, kita yang akan mengalami rasa lebih teruk berbanding kita yang sakit..

6- Kita tidak keberatan tidur pada pukul 9 malam pada malam Jumaat…;-)

7- Perasaan kita akan lebih mudah tersentuh atau berkecil hati apabila berlaku hal-hal berkaitan dengan anak.

8- Kita akan lebih kerap melihat anak kita di dalam cermin berbanding melihat diri kita sendiri.

9- Kita tidak lagi jijik dengan najis bayi, sebaliknya kita akan Happy bila anak kita poo-poo!

10- Kita akan lebih menghargai diri kita.

11- Kita lebih rela meluangkan masa untuk peluk dan cium anak kita, walaupun kita tahu kita akan sampai lewat ke tempat kerja.

12- Kita mula menyedari, yang kita punyai kuasa yang hebat bila dapat menenangkan anak kita yang sedang menangis.

13- Kita akan sentiasa mengira gigi anak yang baru tumbuh.

14- Kita akan rasakan yang mempunyai anak lagi bukanlah satu masalah yang besar, malah kita amat sukannya.

15- Apabila kita melihat ada ibu bapa lain yang sedang memegang anak mereka yang sedang menangis, kita akan faham situasi mereka.

16- Kita akan menghargai masa mandi kita walaupun ianya dalam masa yang singkat!

17- Akhirnya, kita akan mula bertegur sapa dengan jiran sebelah selepas mempunyai anak!

18- Kita akan dapati, perkara-perkara yang dulunya kita anggap penting kini tidak lagi selepas adanya anak.

19- Kita sedar yang sebenarnya tidak sukar untuk menyayangi anak kita yang pada mulanya kita anggap dia adalah orang asing.

20- Setiap hari kita adalah sesuatu yang penuh dengan kejutan!

Wednesday 28 March 2012

Petua : Melentikkan Bulu Mata Bayi....

Kepada ibu-ibu yang ingin melentikan bulu mata anak, cubalah petua ini. Sapukan bulu mata anak anda dengan susu ibu setiap kali selepas menyusukannya. Amalkan selalu dan anda akan dapati bulu mata bayi anda semakin lebat, lentik dan cantik.

Kenali Air Ketuban

Ramai yang kurang arif tentang air ketuban. Mari menyelongkar 1001 rahsia tentang air ketuban yang memainkan banyak peranan kepada diri anda dan kandungan.

Lazimnya air ketuban bersifat jernih dan tidak berwarna. Walau bagaimanapun, warnanya boleh bertukar menjadi kehijau-hijauan atau kecoklatan sekiranya bercampur dengan najis janin.

Antara sifat lain air ketuban ialah ia tidak pekat seperti lelehan faraj dan tidak berbau hancing seperti air kencing. Memandangkan sifatnya adalah cecair, ia akan membasahi seluar dalam dan boleh meleleh menuruni kedua-dua belah paha jika terpecah. Hal ini berlaku terutamanya apabila anda berdiri selepas berbaring, kesan daripada penakungan air ketuban di dalam faraj sewaktu dalam keadaan baring.

Kebanyakan air ketuban terhasil daripada air kencing bayi dalam kandungan. Ini terutamanya pada minggu ke-12 hingga ke-14 setelah buah pinggang janin menjalankan fungsinya. Pada trimester ke-3 kehamilan pula, kebanyakan air ketuban dihasilkan oleh selaput ketuban, kulit, buah pinggang dan saluran pernafasan janin.

Jumlah isipadu air ketuban diimbangi oleh penghasilan dan pembuangannya. Hal ini berlaku melalui proses di mana bayi menelan dan membuang air ketuban sepanjang tempoh pembesarannya di dalam rahim. Isi padu paling banyak ialah sewaktu minggu ke-34 kehamilan yang berjumlah sekitar 800ml. Namun, jumlahnya akan berkurangan sehingga 600ml pada minggu ke-40.

Air ketuban akan terus memenuhi kantung rahim sepanjang tempoh kehamilan. Fungsinya sangat penting! Antaranya, ia mengisi ruang perantara di antara janin, tali pusat dan dinding rahim bagi membantu penyerapan kesan hentakan luar (trauma kemalangan), menyerap kesan himpitan sekiranya berlaku pengecutan rahim, selain daripada menstabilkan suhu persekitarannya. Kepentingannya yang lain ialah ia bertindak sebagai lapisan pendinding kepada jangkitan dan memberi ruang kepada bayi dalam kandungan untuk menggerakkan anggota tubuh iaitu kaki dan juga tangannya.

Ketuban Pecah
Air ketuban boleh pecah sama ada secara sendiri mahupun menerusi prosedur tertentu. Salah satu penyebab kepada ketuban pecah ialah prosedur memecahkan kantung ketuban yang biasanya dilakukan oleh doktor sewaktu anda mengalami kontraksi. Selain daripada itu, air ketuban yang terlalu berlebihan boleh menyebabkan rahim menjadi terlalu tegang dan tidak dapat menahan tekanan di dalamnya lalu pecah. Malah, kelainan sifat tegar selaput ketuban yang menjadikannya lemah juga boleh menyebabkannya mudah bocor.

Risiko pecah ketuban mungkin boleh terjadi sewaktu atau sejurus selepas kebocoran terutamanya kepada anda yang mempunyai masalah polihidramnios dan kedudukan janin tidak normal. Tali pusat boleh jatuh ke dalam faraj hingga menjadi punca kepada penyebab bayi lemas. Kebiasaannya tindakan segera akan diambil doktor dengan melakukan pembedahan caesarean bagi mengeluarkan bayi.

Uri boleh lekang daripada terus melekat pada dinding rahim disebabkan faktor perubahan tekanan yang berlaku secara mendadak akibat daripada kebocoran besar seperti di dalam kes polihidramnios. Anda juga boleh kehilangan darah dalam jumlah yang banyak dan pada masa yang sama boleh membahayakan keselamatan bayi yang dikandung.

Risiko-risiko lain yang boleh berlaku termasuklah jangkitan kuman (chorioamnionitis), jika ketuban pecah melebihi 24 jam. Kuman boleh menjangkiti air ketuban dan janin melalui faraj serta boleh mengakibatkan pneumonia. Ia juga boleh memasuki aliran darah janin dan anda (sepsis).

Kedudukan janin boleh kekal tidak normal kerana kekurangan atau ketiadaan air ketuban bagi memberi ruang untuk janin bergerak dan membetulkan kedudukannya. Meconium aspiration syndrome pula boleh terjadi di mana kandungan air ketuban yang sedikit menyebabkan najis janin tidak cair dan meningkatkan risiko terhadap bayi jika najis memasuki ruang pernafasannya.

Oleh yang demikian, air ketuban yang keluar tidak harus dipandang ringan. Sekiranya anda mengesyaki air ketuban keluar sebelum tiba waktunya, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan dan menjalani rawatan susulan.

Oligohydramnios
Kekurangan air ketuban memang membimbangkan. Antara risikonya ialah :
1. Janin berkemungkinan lemas akibat gangguan aliran darah dan oksigen daripada anda kepadanya apabila tali pusat terhimpit.
2. Penyempitan ruang dalam rahim boleh mengganggu pembentukan paru-paru, menyebabkan kecacatan pada anggota kaki serta kedudukan janin tidak normal.
3. Kelahiran pramatang dan komplikasi berkaitannya boleh berlaku seperti kesukaran pernafasan (respiratory distress syndrome), masalah usus (necrotizing enterocolitis), pendarahan otak (intraventricular haemorrhagel) dan jangkitan darah (septicaemia).
4. Kematian sebelum lahir.

Polihidramnios
Masalah akan timbul sekiranya air ketuban terlalu banyak. Ini termasuklah :
1. Kedudukan bayi tidak stabil. Bayi akan sering bertukar kedudukannya seperti songsang, melintang dan kepala di bawah.
2. Kandungan nampak terlalu besar dan berat. Kesannya kepada tulang belakang amat ketara apabila anda berasa tidak selesa terutamanya di tri-mester akhir kehamilan.
3. Risiko kelahiran pramatang adalah tinggi kerana proses kelahiran boleh berlaku lebih awal.
4. Disebabkan kedudukan bayi yang tidak tetap, risiko melahirkan bayi secara caesarean adalah tinggi.
5. Kandungan air ketuban yang banyak sering dikaitkan dengan bayi berkemungkinan mempunyai kecacatan. Hal ini boleh dikesan melalui pemeriksaan ultrasound.
6. Kadang-kala masalah ini boleh menyebabkan anda mengalami kesukaran bernafas, berjalan dan lain-lain.