Blogger Templates

Saturday 18 February 2012

50 Rahsia Si Manja Cerdas

Ingin tahu rahsia si manja anda seorang yang cerdas? Meh ikuti 50 pelbagai aktiviti dan panduan yang menunjukkan si manja seorang yang cerdas.

1. Kenal Wajah Anda - Dia merenung anda sambil dan memegang wajah anda. Dia sebenarnya sedang membina memorinya.

2. Berbual dengannya - Dia menunjukkan reaksi apabila anda berbual dengannya. Dia akan melihat anda seakan memahami apa yang anda cakapkan.

3. Memberi senyuman - Anda senyum kepadanya dan dia pun akan tersenyum kepada anda. Sudah mulai menunjukkan perkembangan emosinya.

4. Bertindak balas kepada permainan kesukaan - Asyik bermain dengan permaianan kesukaannya. Cuba anda ambil barang itu, dia pasti akan menjerit.

5. Tahu apabila namanya dipanggil - Anda memanggil namanya dan dia memandang ke arah anda. Panggillah nama yang biasa anda ucapkan setiap hari.

6. Mencapai objek - Kemahiran motor kasarnya semakin baik. Dia boleh mencapai dengan tangan objek permainan dengan mudah.

7. Berminat objek yang terang - Warna terang seperti merah, hijau, oren dan kuning adalah warna kegemaran si manja. Letaklah objek atau permainan yang berwarna seumpama ini, dia akan pantas mencapainya.

8. Suka merenyukkan objek lembut - Ia adalah perkembangan positif buat si manja apabila suka memegang dan meramas objek atau permainan kain yang mengeluarkan bunyi seakan plastik.

9. Ketawa bersama - Si manja suka anda menggeletek badannya, bahkan menciumnya. Dia akan ketawa apabila anda berbuat demikian.

10. Boleh membuka dan menutup genggaman tangan - Cubalah permainan seperti 'cak cekur' sambil menunjukkan cara bagaimana tangan digenggam dan dibuka. Dia akan melakukan bila-bila masa dia berasa selesa, bahkan semasa minum susu.

11. Bergerak dengan yakin - Masih belum boleh merangkak, tetapi sudah mula menunjukkan usaha untuk mencapai objek yang disukai dengan hanya mengesot. Si manja sudah mula menunujkkan sikap terujanya.

12. Tepuk tangan - Bersama si manja menyanyi dan menepuk tangan sambil mengerakkan badannya ke kanan dan kiri. Dia akan tersenyum gembira dengan aktiviti ini.

13. Tidur dengan lena - Si manja tidur dengan lena dalam tempoh yang lama antara 2 hingga 3 jam. Selepas bangun tidur, si manja dibiarkan bermain sendirian dan dia tidak merengek.

14. Suka mandi - Sayang jom mandi! Suka menyentuh air semasa mandi dan tersenyum gembira. Begitu juga selepas mandi semasa memakainya pakaian.

15. Urutan - Bayi suka badannya diurut. Lakukan secara rutin. Urut bahagian kaki, badan, tangan dan mukanya. Jika dilakukan secara rutin, si manja mudah tidur dengan lena.

16. Suapan sayang - Si manja dengan mudah makan makanan pejalnya apabila anda memujuknya seperti "vroom, vroom, kereta nak masuk gua, aaa buka mulut sayang!". Pastinya si manja membuka mulut.

17. Aksi spontan - Cara santai untuk bermain dengan si manja dengan meniup perut, muka dan lehernya perlahan-lahan. Cuba lihat tindak balasnya. Pastinya dia akan ketawa!.

18. Mari berdansa - Peluk dan dukung bayi mengikut irama muzik yang rancak. Pasti si manja teruja dan ketawa.

19. Kenalkan buku - Duduk bersamanya membaca buku. Baca buku berulang kali. Pakar mendapati bahawa bayi seawal lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca berulang kali.

20. Bermain dengan abangnya - Biarpun masih kecil, si manja turut mempunyai perasaan ingin berkawan. Biarkan abangnya mengagahnya. Si manja ketawa apabila abangnya membuat muka lucu.

21. Permainan sorok - Sorokkan barangan permainan kesukaannya. Si manja akan seronok melihat objek yang hilang dan muncul kembali. Ia akan membuatkannya ketawa.

22. Bermain dengan makanan - Sediakan makanan dengan tekstur berbeza termasuk lobak yang direbus dan dihiris halus, bijirin, pasta atau cebisan ayam yang dikisar atau hirisan ikan. Cara ini si manja dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

23. Menonton tv - Si manja suka menonton rancangan kegemarannya. Bunyi dan warna-warni yang dilihat dalam kaca televisyen akan membuatkan dia asyik seketika.

24. Permainan tekan dan bunyi - Sediakan permainan yang mengeluarkan bunyi apabila ditekan. Si manja pasti teruja apabila dia tertekan pada permainan itu dan mengeluarkan bunyi.

25. Bergolek ke sana sini - Pantang tinggal sekejap, si manja yang belum boleh berjalan akan bergolek di merata tempat. Pastikan ruang dalam keadaan bersih dan tiada objek yang tajam supaya si manja bergerak dengan selamat.

26. Nyanyikan lagu - Nyanyilah apa sahaja lagu sama ada yang anda reka (mari kita pakai baju, pakai baju...) atau didapati di internet. Lagu membuatkan bayi semakin aktif dan ceria.

27. Sentuhan dan rasa - Sediakan satu kotak kain dengan tekstur yang berbeza-beza seperti kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

28. Petik bunga - Sambil dukung bayi, bawalah dia ke taman bunga. Biarkan dia menghidu bau haruman bunga-bungaan. Dia akan menyukai suasana yang mendamaikan ini, lebih-lebih lagi di bawa bercuti ke kawasan peranginan.

29. Jatuh dan angkat - Bayi memang suka menjatuhkan objek yang dipegangnya dari kerusi makanannya yang tinggi. Anda angkatkan dan berikan kepadanya. Kemudian dia menjatuhnya kembali. Sebenarnya bayi sedang belajar dengan persekitarannya.

30. Membebel - kadang kala, bayi mengeluarkan suara yang tinggi dan membebel. Biarkan dia begitu. Dia sedang belajar tentang bunyi atau mungkin teruja dengan sesuatu objek.

31. Bina laluan halangan - Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, atau permainan di atas lantai. Kemudian tunjukkan kepada bayi bagaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

32. Ikut mimik muka dan bunyi - Ajak si manja anda mengikut muka mimik anda. Buat pelbagai aksi lucu atau bunyi yang bayi boleh tiru dengan mudah.

33. Aksi lucu - Kembungkan pipi dan suruh kanak-kanak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, proof! Tiupkan ke mukanya. Pasti dia suka aksi lucu ini.

34. Masa untuk bercerita - Sebelum tidur, bacalah cerita dongeng kegemarannya. Buat suara dan aksi semasa membaca cerita itu. Malah anda boleh tukarkan nama watak utama ke nama si manja supaya dia seronok.

35. Lihat diri dalam cermin - Biarkan si manja merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain.

36. Taman permainan buatan - Anda baring dan si manja akan memanjat dan merangkak di atas anda. Kemudian dia akan mencium pipi anda. Permainan yang menyeronokkan anda dan si manja.

37. Mari mengira 123... - Usia si manja hampir satu tahun. Dia boleh berjalan. Jadi mari belajar mengira dengan jumlah anak tangga dalam rumah anda. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

38. Kenali wajah ahli keluarga - Letakkan gambar wajah ahli yang penting dalam kehidupan si manja anda. Sebutkan nama-nama wajah yang dikenalinya. Semakin si manja membesar, semakin dia mengenali orang disekelilingnya.

39. Golek bola - Golek bola dengan perlahan kepada si manja. Pilih bola jenis lembut supaya tidak mencederakannya. Si manja akan belajar untuk menangkap bola yang bergolek.

40. Kenali rakan sebaya - masa untuk mengenali dunia luar dengan membawa dia ke rumah teman yang mempunyai anak seusia anak anda. Biarkan dia bermain bersama rakan sebayanya.

41. Menjerit - pernah mendengar si manja tiba-tiba menjerit! Ya. Ia berlaku apabila si manja begitu seronok dengan apa yang dilakukannya, walaupun hanya bermain seorang diri.

42. Berdikari - Apabila minum susu, si manja sudah boleh memegang botol susu dengan sendiri. Malah sambil menonton rancangan televisyen kegemarannya.

43. Kenali anggota badan - Masa menukar lampin pun boleh digunakan untuk belajar. Gunakan waktu itu untuk mengajar bahagian badan atau pakaian.

44. Pegang tangannya - Sentuhan amat berkesan untuk memberi keyakinan kepada si manja. Pegang tangannya sambil mengerakkan jari kemrinya. Si manja suka akan aktiviti ini.

45. Tambah perbendaharaan kata - Bawa bayi berjalan-jalan dan beritahu semua perkara yang dilihat semua perkara yang dilihat padanya. Cara itu boleh menyediakan bayi dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

46. Pelukan - pelukan akan membuatkan bayi berasa selamat. Dia akan merasa selesa dan selamat semasa dalam pelukan ibunya.

47. Bermain buai bersama - Bersama si manja bermain buaian di hadapan rumah. Duduk bersamanya sambil bercakap perkara yang menggembirakannya.

48. Segar - Sentiasa dedahkan si manja dengan udara yang segar. Elakkan membawa si manja di kawasan yang sesak dengan orang ramai dan udara yang tercemar.

49. Kesihatan yang stabil - Sentiasa memantau kesihatan si manja supaya badannya tidak mudah dijangkiti penyakit. Dengan ini, si manja akan sentiasa aktif bermain untuk merangsang mindanya.

50. Rehat - baring bersama si manja setelah seharian bermain. Baring di lantai yang bersih atau di atas tilam. Lihat aksi si manja anda. Dia sudah tentu akan meneroka apa yang yang ada berhampirannya.

10 FAKTA MENARIK TENTANG BAYI

* Bayi mengenali ibu terlebih dahulu sebelum ayah. Bayi mengenali suara ibu dari dalam rahim dan dapat mengenali suara dan bau ibu sebaik lahir.

* Bayi boleh melindungi diri sendiri daripada tercekik. Dikenali sebagai “protective reflex”, lidah bayi secara automatic akan menolak keluar objek asing untuk mengelakkan bayi dari tercekik.

* Warna asal mata kebanyakan bayi yang baru lahir adalah biru dan warna ini akan berubah kemudian selepas beberapa minit lahir.

* Bayi mengenali bau susu ibu. Anda mungkin menyedari bahawa sebaik anda mendekati bayi anda, dia akan meragam dan banyak kerenah. Ini kerana bayi anda mengenali bau susu dan dia tahu makanannya sudah sampai.

*Bayi mula tersenyum pada usia 6-12 minggu.

* Bayi menangis tidak mengalirkan air mata sehinga berusia 3-12 minggu.

* Bayi dilahirkan mempunyai 300 tulang tetapi tulang-tulang ini akan bercantum kemudiannya membentuk 206 tulang sahaja seperti mana jumlah tulang orang dewasa.

* Bayi dilahirkan tanpa lutut.

* Bayi dilahirkan dengan keupayaan untuk berenang dan menahan nafas tetapi kelebihan ini akan hilang sepanjang tumbesarannya.

* Di dalam 1 kajian, saintis di Norway membuat 1 penemuan mengejutkan apabila bayi yang baru dilahirkan dan diletak di atas perut ibunya, merangkak perlahan-lahan menuju ke payudara ibunya dan menyusu tanpa sebarang bantuan dari ibu.

Tips Ajar Anak Makan Sayur dan Buah



Tips-tips berguna untuk kita kongsi agar anak-anak menjadi penggemar sayur dan buah-buahan.

1. Ibubapa sebagai contoh

Anak senang meniru apa yang ibubapa dia buat. Kalau ibubapa jenis yang suka makan sayur dan buah, maka anak dengan mudah akan menjadi penggemar sayur dan buah. Mana mungkin ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Jadi ubah diri anda dan pasangan sebelum memasang cita-cita untuk melihat anak menjadi penggemar sayur. Jadikan aktiviti menikmati sayur dan buah adalah aktiviti yang menyeronokkan.

2. Kreatifkan Hidangan

Kanak-kanak suka pada benda yang menarik. Jemukan bila makan resipi masakan yang sama setiap hari. Jadi, apa salahnya jika kita mengubah stail masakan dan hidangan sayur dan buah untuk hidangan sekeluarga.

3. Kongsi Ilmu Tentang Rahsia Warna Buah & Sayur Dengan Anak

a. Hijau

- Mengandungi fitonutrien isotiosianat, lutein, zeantin, beta karotein dan Epigallocatechin gallate (EGCG).
- Fungsinya: Untuk kesihatan sel, paru-paru, menyokong fungsi arteri atau salur darah dan hati; meningkatkan penyerapan kalsium
- Sumber: Kubis daun, bayam, lada benggala hijau, selada air, salad, zukini (mentimun Jepun), brokoli, kubis Brussels, kacang panjang, kacang buncis, kacang hijau, bendi, kangkung, mentimun, teh hijau, epal hijau dan semua sayur lain yang berwarna hijau. EGCG juga boleh didapati dalam teh hijau, hitam dan oolong yang membantu mengawal paras kolesterol darah.

b. Merah

- Mengandungi likopen dan asid elagik.
- Fungsinya: Untuk menjaga kesihatan prostat dan asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam sel.
- Sumber: Epal merah, kranberi, tembikai, limau gedang merah jambu, jambu batu (merah), delima, lobak radish, rasberi, strawberi, ceri, tomato.

c. Kuning-jingga

- Mengandungi alfa karotein, beta karotein, beta kriptozantin dan hesperidin
- Fungsinya: Untuk kesihatan mata; fungsi imun atau daya ketahanan badan yang sihat; mengekalkan penghidratan, pertumbuhan dan perkembangan yang sihat
- Sumber: Oren, labu, lobak merah, aprikot, keledek, limau, betik, jagung, nanas, lemon (limau kapas), buah markisa.

d. Putih

- Mengandungi alisin, kueresetin, isoflavon, EGCG, isotiosianat dan antosianin
- Fungsinya: Mengekalkan kesihatan tulang, memperbaiki peredaran darah dan menyokong fungsi salur darah, merangsang fungsi enzim
- Sumber: Buah pir, kacang soya, bunga kubis, bawang putih, parsnip, lobak putih, kacang putih, cendawan, pisang, kentang,

e. Biru-ungu

- Mengandungi kuersetin, resveratrol, asid elargik, antosianidin dan prosianidin.
- Fungsi: Antosianidin dan resveratrol ialah kumpulan fitonutrien yang mempunyai ciri antioksidan yang kuat dan berperanan penting dalam melindungi tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas serta menyokong kesihatan jantung dan salur darah. Ada kajian menunjukkan antosianidin juga menyumbang kepada kesihatan DNA, kulit dan melancarkan pencernaan.
- Sumber: Buah tin, anggur, beri biru, boysenberi, kubis merah (ungu), anggur hitam, terung, keledek ungu, kacang hitam, plum, bit.

4.Libatkan Mereka

Libatkan anak-anak ketika anda membeli sayur di pasar, kenalkan mereka dengan pelbagai jenis sayur dan buah. Jika anda tak kesah, biarkan mereka memilih sayur dan buah mana yang ingin dinikmati.Anda juga boleh memperkenalkan jenis sayur dan buah dengan menggunakan flash card. Mengajar anak ketika kecil adalah seperti membuat ukiran di atas batu.

Thursday 16 February 2012

Rahsia "Bantal Busuk"

Tabiat kanak-kanak tidak mahu renggang dengan bantal busuk dipanggil “clinging behavior” atau tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu benda dan tidak mahu berenggang dengannya. Ia tidak terhad kepada bantal atau anak patung sahaja. Sesetengah kanak-kanak menjadikan kain selimut tertentu, sapu tangan dan seumpamanya sebagai objek selesa mereka. Tingkah laku pautan (clinging behaviour) adalah sikap biasa yang sering terjadi kepada bayi dan kanak-kanak di peringkat awal. Biasanya tabiat ini bermula di rumah dan berlaku kepada kanak-kanak yang kurang stimulasi dan mahukan sesuatu atau peneman untuk menenangkan diri mereka. Kanak-kanak yang begini akan memegang bantal, kain atau anak patung sebelum tidur kerana rasa ingin ada seseorang bersama mereka.

Perlakuan menggentel bantal atau kain ini seakan memberi kanak-kanak ketenangan dan keselesaan sehingga menjadikan mereka asyik. Dek keasyikan menggentel bantal, membuatkan mata mereka mudah terlelap dan perkara ini berulang-ulang sehinggalah ia menjadi satu tabiat yang sukar dikikis. Ada juga sesetengah kanak-kanak berbual dengan bantal atau anak patung kesayangan mereka. Ini merupakan satu cara untuk mereka berkomunikasi dan ia dipanggil teman imaginasi (imaginary friends). Sebenarnya mereka mahukan seseorang untuk meluahkan perasaan, namun disebabkan kesibukan ibu bapa atau pengasuh, luahan itu terpaksa disalurkan kepada teman imaginasinya itu.

Satu lagi punca tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu ini juga disebabkan oleh rasa ingin selamat (sense of secure). Kanak-kanak kecil belum memahami konsep kehilangan sementara. katanya. Mereka tidak faham bahawa sesuatu benda yang hilang itu akan muncul kembali dan kerana itu mereka mahukan ada sesuatu yang menjadi peneman mereka. Dengan melakukan perlakuan demikian seperti menggentel bantal, kain dan sebagainya membuatkan mereka rasa selamat dan tidak ditinggalkan keseorangan. Dalam hal begini, ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan tabiat mengendong bantal atau anak patung ini kerana ia bersifat sementara. Ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengelakkan tabiat ini daripada berterusan dengan cuba memisahkan anak dengan rakan karib mereka ini secara perlahan-lahan. Masa yang terbaik untuk memisahkan kanak-kanak ini adalah ketika umur mereka mencecah 3 tahun. Sebaliknya jika dibiarkan, perlakuan ini mungkin akan berterusan sehingga mereka dewasa.

Namun, terdapat juga kanak-kanak yang boleh berpisah dengan teman akrab mereka ini dengan sendirinya selepas memasuki taska kerana malu kepada rakan-rakan yang lain. Aktiviti seharian di taska mudah mengurangkan kebergantungan kanak-kanak tadi terhadap bantal atau anak patung mereka.

Bantal Busuk Hingga Dewasa - Menurut pakar psikologi, memiliki bantal busuk hingga dewasa bukan perkara yang mustahil. Memang tidak ada kesan sampingan, tetapi tabiat ini boleh berlarutan hingga dewasa dan sukar dikikis jika tidak dikawal. Sesetengah individu sukar berpisah dengan tabiat ini disebabkan ibu bapa mereka terlalu mengikut kehendak anak yang mahukan bantal busuk sentiasa ada bersama. Dalam hal ini, peranan ibu bapa dan pengasuh perlu ada untuk mengelakkan tabiat ini berterusan.